PETALING JAYA: Penemuan mayat lelaki warga emas di dalam longkang di Bandar Country Homes, Rawang, semalam diklasifikasi sebagai kematian mengejut (SDR).
Lelaki berusia 72 tahun ditemukan terbaring di dalam longkang di kawasan berkenaan pukul 12.40 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak telah menerima laporan berhubung penemuan itu.
Menurutnya, hasil siasatan, lelaki berkenaan memaklumkan kepada adiknya hendak keluar merayakan Deepavali ke rumah seorang rakan pada pukul 1 tengah hari kelmarin.
“Bagaimanapun, pukul 9 pagi semalam, adiknya gagal menghubungi mangsa dan berusaha mencarinya di rumah rakan terbabit serta kawasan sekitar, namun tidak berjaya.
“Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam longkang sebelum ditemukan oleh orang awam dan disahkan meninggal dunia oleh Pembantu Pegawai Perubatan dari Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai SDR.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dan boleh berhubung dengan Ketua Polis Balai Bandar Country Homes, Asistan Superintendan Murziana QayyisaAngu di talian 012-5285499 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di 03-61262222,” katanya.-UTUSAN










