KBS tunggu keputusan FIFA sebelum bertindak

KBS tunggu keputusan FIFA sebelum bertindak

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak mahu terburu-buru mengambil sebarang tindakan dan mahu menunggu terlebih dahulu keputusan rayuan yang dikemukakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), yang dijangka diketahui hari ini.

Menterinya, Hannah Yeoh menegaskan, keputusan rasmi daripada FIFA amat penting sebelum kementerian bersama FAM dan Pesuruhjaya Sukan (PJS) dapat menentukan langkah susulan bagi memperkukuhkan semula struktur pentadbiran bola sepak negara.

“Harapan saya, selepas keputusan rayuan keluar, saya akan bekerjasama dengan FAM dan Pesuruhjaya Sukan untuk melihat penambahbaikan yang patut dilakukan.

“Tetapi seperti yang saya nyatakan, kita tunggu keputusan dulu, kemudian kita bergerak,” katanya selepas hadir pada gimik kerja naik taraf Kompleks Sukan Raja Muda bagi pembangunan Akademi Sepaktakraw Malaysia di Kampung Baru,sebentar tadi.

Hannah turut menjelaskan, isu yang sedang dihadapi bukan hanya tertumpu kepada tujuh pemain kebangsaan seperti yang diperkatakan, sebaliknya turut membabitkan masa depan ramai lagi pemain lain yang bergantung kepada hala tuju dan kepimpinan bola sepak tanah air.

“Kita kena ingat, pasukan kebangsaan bukan hanya tujuh atlet tersebut. Kita ada ramai lagi atlet bola sepak lain.

“Ia (keputusan) bergantung sangat kepada pimpinan dan pentadbiran bola sepak supaya semakin bertambah baik, agar karier pemain-pemain seperti Faisal Halim dan Arif Aiman Hanapi terus bersinar,” ujarnya.

Menurutnya, pihak berkepentingan dalam sukan bola sepak perlu kekal komited serta tidak berputus asa dalam usaha memperbaiki kelemahan yang ada, demi memastikan masa depan pemain tidak terjejas.

“Kalau kita putus asa seperti ini sahaja, habislah pemain lain. Tak adil untuk mereka,” tegasnya.

Terdahulu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berpendapat bahawa FIFA berkemungkinan besar tidak akan mengubah keputusan tetapi bakal meringankan hukuman yang dikenakan ke atas FAM serta tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

FIFA mendedahkan butiran penuh berhubung keputusan menghukum FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel selepas mendapati wujud ketidakselarasan dalam dokumen asal pendaftaran pemain.

Menurut laporan rasmi bertajuk ‘Notification of the Grounds of the Decision’ bertarikh 6 Oktober 2025, Jawatankuasa Tatatertib FIFA menjelaskan bahawa hukuman itu dikenakan berdasarkan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA yang membabitkan isu pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi.

Susulan itu, FIFA mengenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (RM10,000) dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN