Melaka catat rekod pelaburan tertinggi RM14.68 bilion - Utusan Malaysia

Melaka catat rekod pelaburan tertinggi RM14.68 bilion

Ab. Rauf Yusoh berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka bulan Mac 2026 dan Majlis Sambutan Ihya Ramadan Penjawat Awam Negeri Melaka tahun 2026 di MITC, semalam. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Melaka mencatat rekod pelaburan tertinggi dalam tempoh lebih dua dekad apabila merekodkan nilai pelaburan sebanyak RM14.68 bilion pada 2025.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pencapaian itu berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Menurut beliau, pelaburan tersebut melibatkan 312 projek yang diluluskan dan dijangka menjana lebih 4,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.

Beliau berkata, terdapat beberapa syarikat konglomerat yang telah beroperasi di negeri ini lebih 50 tahun, sekali gus membuktikan Melaka kekal destinasi pelaburan yang stabil serta mempunyai sumber tenaga kerja mencukupi.

“Kestabilan pentadbiran kerajaan negeri menjadi antara faktor utama yang meningkatkan keyakinan pelabur untuk terus mengembangkan perniagaan di Melaka

“Pencapaian ini akan menjadi pemangkin kepada komitmen berterusan kerajaan negeri untuk memastikan setiap pelaburan yang masuk benar-benar memberi manfaat dan pulangan kepada rakyat sejajar dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa),” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka bulan Mac 2026 dan Majlis Sambutan Ihya Ramadan Penjawat Awam Negeri Melaka tahun 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini petang, semalam.

Dalam perkembangan lain Ab. Rauf berkata, kerajaan negeri menyediakan kemudahan parkir percuma selama tujuh hari di seluruh negeri sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Menurutnya, inisiatif itu melibatkan 39,696 petak parkir dan akan dilaksanakan bermula 1 hingga 7 Syawal bagi memudahkan orang ramai yang pulang berhari raya serta pelancong yang berkunjung ke negeri bersejarah itu.

Menurut beliau, kemudahan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk memberikan keselesaan kepada rakyat dan pengunjung sepanjang musim perayaan.

“Inisiatif parkir percuma ini melibatkan kos kira-kira RM900,000 yang ditanggung oleh kerajaan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, penjawat awam negeri juga akan menerima Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 yang akan dikreditkan ke akaun masing-masing pada 11 Mac. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN