KBS tumpu selenggara fasiliti belia, sukan sedia ada

KBS tumpu selenggara fasiliti belia, sukan sedia ada

Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap membentangkan Belanjawan 2026 di Bangunan Parlimen di sini, semalam. - Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) belum melihat secara khusus senarai peruntukan program yang diluluskan dalam Belanjawan 2026 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen semalam.

Timbalan Ketua Setiausaha Belia dan Sukan, Abdullah Hassan berkata, bagaimanapun sebagian daripada peruntukan diluluskan sememangnya untuk tujuan menyelenggara fasiliti-fasiliti belia dan sukan sedia ada.

“Memang sebahagian dana bertujuan menyelenggara fasiliti sedia sada, sama ada yang rosak atau usang. Tumpuan kita pada tahun ini adalah lebih kepada menyelenggara fasiliti sedia ada berbanding pembinaan fasiliti baharu.

“Bagaimapaun tumpuan tertentu bagi fasiliti baharu tetap ada termasuk fasiliti untuk Sukan Malaysia (Sukma) 2028 di Kelantan yang kini dalam pembinaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Kelantan 2025 di pekarangan Masjid Jamek Muhammadi, di sini hari ini.

Beliau berkata, secara umumnya Belanjawan 2026 memperlihatkan peningkatan kepada beberapa program fokus di bawah KBS yang dilaksanakan melalui penilaian semasa.

“Kita faham setiap tahun akan ada program atau aktiviti diluluskan dan perubahan sentiasa berlaku. Penilaian terhadap apa yang telah dilaksanakan pada tahun lepas dan tahun ini adalah refleksi kepada Belanjawan 2026.

“Pada belanjawan kali ini kita tidak melihat ada pemotongan bagi mana-mana program di bawah KBS dan terima kasih kepada Perdana Menteri atas belanjawan yang sangat menyokong pembangunan belia dansukan tahun depan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdullah berharap Sambutan Hari Sukan Negara yang dilancarkan serentak di seluruh negara pada hari ini akan dapat mendorong rakyat Malaysia, termasuk di Kelantan untuk kekal aktif sepanjang tahun.

Katanya, walaupun Hari Sukan Negara hanya disambut sehari pada setiap tahun tetapi rakyat di negeri ini tetap boleh bergerak aktif melalui pelbagai program dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Kelantan bermula Januari sehingga Disember.

“Selain itu JBS turut menyediakan Geran Padanan Sukan serta Dana Sukan Komuniti untuk membantu penganjuran program di peringkat komuniti dan menjalankan aktiviti kesukanan. Permohonan boleh dibuat secara dalam talian,” ujarnya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN