BATU PAHAT: Seorang wanita berhadapan detik cemas selepas mendapati anaknya yang berusia enam tahun berlumuran darah dan terdapat kecederaan pada leher dipercayai dikelar dengan menggunakan senjata tajam dalam kejadian di Kampung Parit Nipah Laut di Parit Raja di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, laporan diterima pada pukul 9 pagi menyatakan kejadian berlaku kira-kira pukul 5.30 pagi ketika ibu kepada tiga orang anak berusia 40 tahun terbangun dari tidur sebelum mendapati anak lelaki berusia enam tahun cedera dibahagian leher sebelum dimaklumkan kepada suaminya.
Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata atau benda yang merbahaya dan masih diperingkat awal untuk menentusahkan motif kejadian.
“Polis menasihati orang ramai agar tidak menyalahkan perkhidmatan komunikasi dan media sosial dengan membuat hantaran tanpa terlebih dahulu mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa berkaitan kerana dikhuatiri menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.
“Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak menularkan gambar mangsa keran bertentangan dengan peruntukan undang-undang yang boleh disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2002,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Sementara itu, kejadian dipercayai berlaku ketika keluarga lima beranak itu sedang tidur sebelum wanita berkenaan melihat keadaan anaknya berlumuran darah setelah terbangun dari tidur.
Selepas dibuat pemeriksaan, wanita itu mendapati dua bilah pisau ditemui terletak berhampiran bantal tempat tidur anaknya itu selain pintu hadapan rumah mereka dalam keadaan terbuka sedikit.
Wanita itu kemudiannya memaklumkan kepada suaminya sebelum menghantar anak mereka ke Klinik Kesihatan Parit Raja dan dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
Mangsa yang juga anak bongsu daripada tiga adik-beradik dilaporkan bernasib baik kerana tiada sebarang saluran darah yang terputus dan kini dalam keadaan stabil serta dirawat di HSNI. – UTUSAN









