BUENOS AIRES: Dunia bola sepak Argentina berduka apabila pengendali Boca Juniors, Miguel Angel Russo meninggal dunia pada usia 69 tahun, selepas diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) hari ini.
Kesihatan Russo dilaporkan merosot sejak beberapa minggu lalu dan perlawanan terakhir yang dihadirinya ialah ketika Boca seri 2-2 menentang Central Cordoba pada 21 September di gelanggang keramat mereka, La Bombonera.
Walaupun kelab itu tidak pernah mendedahkan keadaan sebenar, media tempatan melaporkan Russo yang pernah disahkan menghidap kanser prostat pada 2017, dijangkiti jangkitan saluran kencing baru-baru ini.
Dalam kenyataan rasmi, Boca Juniors menzahirkan kesedihan mendalam atas pemergian jurulatih yang dianggap legenda kelab itu.
“Miguel meninggalkan tanda yang tidak akan terpadam dalam sejarah kelab ini dan akan sentiasa menjadi contoh kegembiraan, kehangatan serta dedikasi.
“Beliau bukan sekadar jurulatih, tetapi simbol semangat Boca yang sejati,” kata kenyataan itu.
Sepanjang lebih separuh hayatnya sebagai jurulatih, Russo dikenali sebagai figura berprofil rendah namun berwibawa, pernah membimbing beberapa pasukan besar seperti Boca Juniors, Rosario Central dan Estudiantes de la Plata.
Antara kejayaan terbesar Russo ialah membawa Boca menjulang Copa Libertadores 2007 atas permintaan khas Diego Maradona, serta membantu Rosario Central menjulang Piala Liga 2023 selepas dua kali menyelamatkan mereka daripada penyingkiran. – AGENSI