Johor rangkul kejuaraan di PNAGS edisi kelima

Johor rangkul kejuaraan di PNAGS edisi kelima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasukan golf Johor membuktikan ketenangan dan ketajaman strategi apabila muncul juara keseluruhan Kejohanan Akhir Kebangsaan Perodua National Amateur Golf Series (PNAGS) edisi kelima yang berlangsung di Kelab Golf & Country Saujana, Subang pada 29 dan 30 September lalu.

Dalam pertarungan sengit hingga ke pukulan terakhir, Johor menewaskan Selangor menerusi kiraan count back (OCB) selepas kedua-dua pasukan mencatat jumlah pukulan bersih dua pusingan yang sama, iaitu 588.

Diketuai kapten pasukan, Mohamed Izzad Ibrahim Jagkeira, skuad Johor tampil sebagai pilihan utama hasil komitmen tinggi dalam sesi latihan dan pusingan persediaan menjelang kejohanan berprestij itu.

Lima pemain yang menyumbang kepada kejayaan Johor bagi merebut Trofi Cabaran Perodua ialah Mohamed Izzad (HCP 1), Ivan Lim Jen Jean (HCP 4), Nor Azhar Mohamad Noor (HCP 7), Mohd Zaid Mohd Nor (HCP 12) dan Mohd Azmie Lahad (HCP 21).

Menurut Mohamed Izzad, kejayaan itu hasil komitmen dan semangat sepasukan yang tinggi dalam menghadapi cabaran di lapangan Palm Course, yang dianggap antara padang paling sukar di Malaysia.

“Padang Saujana menuntut disiplin dan strategi yang tepat. Kami sepakat untuk bermain dengan tenang dan fokus kepada setiap pukulan,” katanya.

Kejayaan itu sekali gus menobatkan Johor sebagai negeri paling konsisten dalam siri PNAGS tahun ini, menamatkan saingan dengan penuh bergaya di pentas akhir kebangsaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN