KUALA LUMPUR: Himpunan Aman Bantah Trump yang sepatutnya berlangsung di Ampang Park di sini hari ini berubah lokasi ke Dataran Merdeka susulan penutupan jalan dan sebarang akses ke kawasan berkenaan oleh pihak polis.
Wakil penganjur dalam kenyataan berkata, walaupun pihak polis menutup semua akses ke Ampang Park namun himpunan tersebut akan tetap diteruskan.
“Tindakan menutup semua laluan menuju ke Ampang Park disifatkan sebagai keras dan tidak menghormati hak asasi rakyat untuk berhimpun secara aman.
Kami kesal dengan tindakan ini namun perhimpunan akan tetap diteruskan seperti dirancang,” kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, penganjur menyeru semua peserta untuk berhimpun di lokasi baharu, Dataran Merdeka, pada pukul 10 pagi hari ini.
“Mohon semua peserta bergerak ke Dataran Merdeka dan sebarkan makluman ini kepada rakan-rakan lain,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan satu himpunan akan dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan menolak kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 berlangsung di ibu negara.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus menegaskan bahawa masyarakat perlu mematuhi undang-undang selaras dengan nilai demokrasi yang diamalkan di negara ini bagi menjaga keamanan dan kesejahteraan orang awam.
Menurut Fadil, lokasi Ampang Park tidak bersesuaian sebagai tempat berhimpun berdasarkan risikan dan analisis pihak polis kerana jaraknya kira-kira 50 meter daripada zon merah.
Zon merah ini dalam kawasan di mana penglibatan aktif laluan-laluan protokol semua delegasi ASEAN. – UTUSAN










