Hafizh, Daddy Hood ‘tune’ dunia maya ABKL

Hafizh, Daddy Hood ‘tune’ dunia maya ABKL

HAFIZH Syahrin(kiri) bersama DaddyHood ketika Sidang Media Memperkenalkan Hafizh Syahrin & Daddy Hood sebagai pemain (streamer) dalam server FiveM berasaskan GTA, Adik Beradik Role Play (ABRP), di Subang Jaya-IHSAN ABKL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Dunia sebenar dan dunia maya kini ‘bertemu’ apabila bekas pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah, serta personaliti permainan digital terkenal, Nureddy Nursal atau lebih dikenali sebagai Daddy Hood, dilantik sebagai ikon rasmi baharu Adik Beradik Kuala Lumpur (ABKL).

Langkah itu bukan sekadar strategi pemasaran, sebaliknya usaha ABKL memperkukuh kedudukan jenama tempatan itu dalam industri permainan maya dan penstriman digital negara.

Pelantikan dua figura berpengaruh itu turut menandakan penyertaan rasmi mereka dalam Adik Beradik Roleplay (ABRP)  dunia maya berasaskan permainan Grand Theft Auto (GTA) yang dibangunkan oleh ABKL dan kini menjadi fenomena dalam komuniti pemain tempatan.

Bagi Hafizh, yang masih aktif berlumba bersama JDT Racing Team, penglibatan dalam ABRP memberi ruang kepadanya untuk ‘bernafas’ di luar litar.

“Dalam dunia sebenar saya pelumba, tapi di ABRP saya jadi mekanik bernama Yaka Leng. Ia cara saya lepaskan tekanan dan dalam masa sama kenal ramai kawan baharu,” katanya.

Sementara itu, Daddy Hood yang menghidupkan watak Joe Rimau mengakui terkejut dengan sambutan luar biasa selepas kembali aktif menstrim permainan selepas lima tahun.

“Pengikut naik lebih 1,000 peratus sejak saya sertai ABRP. Komuniti ABKL ni bukan sekadar main game, tapi macam keluarga,” ujarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif ABKL, Muzammil Mudzakir atau MelRomeo, berkata pemilihan dua ikon itu dibuat bukan kerana populariti semata-mata, tetapi kerana nilai kekeluargaan dan semangat komuniti yang mereka bawa.

“Mereka bukan sekadar wajah depan, tapi ikon sebenar yang hidup dalam komuniti ABKL. ABKL ini bukan sekadar platform permainan, ia keluarga digital,” katanya.

Sebagai ikon rasmi, kedua-dua mereka akan membantu memperluas pengaruh ABKL di peringkat nasional dan antarabangsa, selain kekal aktif sebagai streamer tetap ABRP.

Menurut Ketua Pegawai Teknologi ABKL, Mohd Hilmi Azli atau Keiroy, idea Hafizh dan Daddy Hood turut membantu memperkukuh identiti ABRP dengan elemen automotif, perlumbaan dan hiburan agar lebih dekat dengan budaya tempatan.

Menjelang 2025–2026, ABKL merancang beberapa inisiatif besar termasuk pelancaran musim baharu ABRP, kolaborasi bersama jenama tempatan, ABKL Annual Dinner & Community Awards 2025, serta pembangunan ABKL Creator Hub sebagai pusat rasmi pencipta kandungan.

“Kami mahu menjadikan ABKL simbol komuniti digital paling berpengaruh di rantau ini. Gabungan hiburan, sukan dan teknologi bakal bawa Malaysia ke tahap baharu dunia e-gaming,” jelasnya-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN