MANCHESTER: Erling Haaland terus membuktikan statusnya sebagai mesin gol Manchester City apabila meledak dua gol untuk membantu juara bertahan menewaskan Everton 2-0 di Stadium Etihad, sebentar tadi.
Penyerang sensasi Norway itu kini mengumpul 11 gol dalam lapan perlawanan liga, sekali gus mengekalkan tekanan terhadap Arsenal dan Liverpool dalam perebutan takhta Liga Perdana Inggeris (EPL).
Separuh masa pertama berlangsung seimbang apabila skuad kendalian David Moyes mempamerkan disiplin bertahan tinggi dan hampir mengejutkan tuan rumah menerusi percubaan penyerang Beto.
Bagaimanapun, City membuka tirai jaringan selepas rehat apabila Haaland menanduk masuk hantaran pemain muda, Nico O’Reilly yang semakin menyerlah di bawah kendalian Pep Guardiola.
Lima minit kemudian, Haaland menambah derita pelawat dengan rembatan rendah yang menewaskan Jordan Pickford untuk menggandakan kedudukan.
Pemain berusia 25 tahun itu hampir melengkapkan hatrik namun percubaannya dinafikan oleh Pickford di penghujung permainan.
Kemenangan itu membolehkan City melonjak ke tangga kedua liga dengan rekod lapan perlawanan tanpa kalah menjelang aksi tumpuan Arsenal menentang Fulham dan Liverpool berdepan Manchester United malam ini. – AGENSI