PETALING JAYA: Kerajaan bersama pengeluar kenderaan nasional akan menyediakan geran padanan sehingga RM4,000 kepada pemilik yang melupuskan kereta berusia lebih 20 tahun dan membeli kenderaan nasional baharu.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu bukan sahaja meningkatkan keselamatan di jalan raya, tetapi turut merancakkan pasaran automotif tempatan dan memperkukuh ekonomi rakyat.
Katanya, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dijangka menggerakkan pelaburan bernilai RM16.5 bilion pada tahun 2026, khusus dalam projek tenaga boleh baharu dan infrastruktur hijau.
“Ini termasuk pembangunan ladang solar oleh UEM Lestra di Segamat, Melaka dan Selangor, serta kerjasama dengan PLUS Malaysia bagi memperluas kemudahan pengecasan EV (kenderaan elektrik) di lebuh raya utama,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri berkata, langkah itu mempercepat pertumbuhan ekonomi hijau dan mengukuhkan Malaysia sebagai hab tenaga bersih serantau.
Katanya, seiring itu, Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS 5.0) dilanjutkan sehingga 31 Disember 2026, dengan jaminan kerajaan 80 peratus bagi sektor sisa dan 60 peratus bagi tenaga, air, pengangkutan dan pembuatan yang membabitkan pembiayaan RM1 bilion. – UTUSAN










