FAM raih pengiktirafan AFC

FAM raih pengiktirafan AFC

Kejayaan itu diumumkan pada Majlis Anugerah AFC yang berlangsung di Riyadh, dengan trofi berprestij tersebut diterima oleh Presiden Kehormat FAM yang juga Ahli Majlis FIFA, Tan Sri Hamidin Mohd Amin. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuktikan keupayaannya untuk bangkit selepas berdepan isu pemalsuan dokumen yang menyaksikan mereka dikenakan denda oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), apabila meraih Anugerah Pengiktirafan Presiden Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi Bola Sepak Peringkat Akar Umbi, Kategori Perak.

Kejayaan itu diumumkan pada Majlis Anugerah AFC yang berlangsung di Riyadh, dengan trofi berprestij tersebut diterima oleh Presiden Kehormat FAM yang juga Ahli Majlis FIFA, Tan Sri Hamidin Mohd Amin.

Menurut kenyataan rasmi AFC, anugerah itu diberikan sebagai penghargaan terhadap usaha luar biasa dan komitmen berterusan ahli gabungan dalam memupuk kecintaan terhadap bola sepak sejak peringkat usia muda.

Badan induk bola sepak Asia itu menegaskan, FAM menunjukkan inisiatif berterusan dalam menyediakan pelbagai platform inovatif dan selamat untuk memperkembangkan bakat generasi muda negara.

Antara usaha yang diiktiraf termasuk penganjuran Liga Suparimau Malaysia, program yang dirangka untuk menyediakan persekitaran tersusun dan inklusif buat pemain muda berusia lima hingga 16 tahun.

“Liga Suparimau yang memenangi Anugerah Pertandingan Terbaik Peringkat Asas AFC pada November 2024, menjadi platform nasional yang terus berkembang serta menyesuaikan diri mengikut keperluan bola sepak akar umbi di seluruh negara,” menurut kenyataan AFC.

Selain itu, FAM turut berjaya menarik pelaburan lebih besar melalui kolaborasi strategik bersama Nestle-Milo, J8 Autism Athletics Company dan Persatuan Sukan Rekreasi Malaysia bagi memperkukuh pembangunan sukan di peringkat asas.

AFC turut memuji usaha FAM melaksanakan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial termasuk program bersejarah FAM-Milo Ultimate Experience serta Football for All Leadership Programme di rantau Asia dan Oceania.

Menurut AFC, langkah itu memperlihatkan keyakinan FAM terhadap kekuatan bola sepak sebagai medium memperbaiki kehidupan dan menyatukan masyarakat.

FAM juga menunjukkan komitmen tinggi terhadap peningkatan keupayaan tenaga kerja dan jurulatih akar umbi melalui Kursus Akar Umbi FAM, Klinik Kejurulatihan Akar Umbi dan Bengkel Platform Pengintip yang menjadi tunjang kepada amalan terbaik industri.

Untuk kategori lain, Persatuan Bolasepak Emiriah Arab Bersatu (UAE FA) dinobatkan sebagai pemenang Kategori Emas, manakala Persekutuan Bolasepak Bangladesh (BFF) meraih Kategori Gangsa.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN