NILAI: Enam peninju negara bakal dihantar ‘berkampung’ di Kazakhstan selama dua minggu bermula 15 November ini sebagai sebahagian persiapan terakhir menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand.
Presiden Persatuan Tinju Malaysia (PTM), Datuk Mohamad Iruan Zulkefli berkata, kem latihan intensif itu dianggap medan terbaik buat barisan peninju negara memperkukuh teknik serta ketahanan fizikal sebelum berentap di pentas dwitahunan itu.
“Latihan kali ini amat penting kerana mereka bukan sahaja berlatih di bawah kendalian jurulatih tempatan, tetapi juga berpeluang turun gelanggang bersama peninju bertaraf dunia dari Kazakhstan, Uzbekistan dan Tajikistan.
“Peninju Kazakhstan mempunyai pengalaman luas di pentas Olimpik, jadi ini peluang terbaik buat anak buah saya menimba pengalaman serta menilai tahap sebenar mereka,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA, Nurul Huda Abdullah, di sini hari ini.
Menurut Mohamad Iruan, skuad negara kini berada pada tahap 80 peratus kesiapsiagaan dan pihaknya optimis latihan di luar negara itu mampu melonjakkan prestasi ke tahap maksimum menjelang temasya di Thailand nanti.
Beliau menambah, PTM juga tidak menolak kemungkinan memberi ganjaran khas kepada peninju yang berjaya menamatkan kemarau emas sejak kali terakhir dimenangi Muhammad Fuad Redzuan dalam kategori light flyweight (49kg) pada edisi Kuala Lumpur 2017.
“Sudah terlalu lama kita tidak dengar lagu Negaraku berkumandang di gelanggang tinju Sukan SEA. Kali ini saya mahu mereka buktikan bahawa Malaysia masih ada taring,” tegasnya.
Pada edisi lalu di Kemboja, skuad tinju negara membawa pulang tiga gangsa menerusi Muhd. Abdul Qaiyum Ariffin (51kg), Mohd. Ridzuan Johari (60kg) dan Indran Rama Khrisnan (86kg).-UTUSAN