Empat beregu lelaki Malaysia gegar suku akhir Terbuka Perancis

Empat beregu lelaki Malaysia gegar suku akhir Terbuka Perancis

Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengetuai kebangkitan skuad negara selepas menundukkan rakan senegara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 21-10, 24-22 dalam aksi serba mendebarkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia mencipta detik bersejarah di Arena Glaz, Cesson-Sevigne apabila keempat-empat beregu lelaki negara mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Perancis awal pagi tadi, sekali gus meniup semangat untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama 21 tahun.

Gandingan No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengetuai kebangkitan skuad negara selepas menundukkan rakan senegara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 21-10, 24-22 dalam aksi serba mendebarkan.

Dua kali pemenang pingat gangsa Olimpik itu bakal berdepan beregu Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani yang pernah menewaskan mereka pada Jelajah Dunia Akhir BWF tahun lalu.

Turut mara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang bangkit luar biasa menewaskan gandingan Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan 18-21, 23-21, 21-14 selepas menyelamatkan dua mata perlawanan.

Beregu No. 4 dunia itu kini berdepan cabaran getir menentang musuh tradisi dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen yang menewaskan mereka lapan kali dalam sepuluh pertemuan.

Man Wei Chong-Tee Kai Wun pula meneruskan prestasi konsisten dengan menumpaskan wakil England, Ben Lane-Sean Vendy 13-21, 21-19, 21-14 untuk mengekalkan rekod sempurna mereka di kejohanan ini.

Kemenangan itu juga memadam kekecewaan selepas pasangan Inggeris tersebut sebelum ini menundukkan Aaron-Wooi Yik serta Sze Fei-Izzuddin di beberapa siri kejohanan utama.

Wei Chong-Kai Wun seterusnya akan bertemu gandingan No. 1 dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dalam misi memburu kemenangan sulung selepas tiga percubaan musim ini.

Sementara itu, pasangan muda Yap Roy King-Wan Arif Junaidi mencipta kejutan besar apabila menyingkirkan beregu China, Xie Hao Nan-Zeng Wei Han 21-12, 21-17 untuk mara ke suku akhir pertama Siri Super 750 mereka.

Empat beregu negara kini menjadi sandaran utama untuk menamatkan penantian kejuaraan Terbuka Perancis sejak kali terakhir dimenangi Gan Teik Chai-Koo Kien Keat pada tahun 2004. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN