Edisi Ke-52 COBRA 10s tampil dengan nafas baharu

Edisi Ke-52 COBRA 10s tampil dengan nafas baharu

Presiden Kelab Ragbi COBRA, Darryll Sinnappa (tengah belakang) bersama barisan penaja pada sidang akhbar menjelang Kejohanan Ragbi 10 Sebelah COBRA (C10s) 2025 di Petaling Jaya, hari ini. - IHSAN RAGBI COBRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejohanan Ragbi 10 Sebelah COBRA (C10s) 2025 bakal melakar sejarah baharu apabila buat pertama kali memperkenalkan dua kategori tambahan, wanita dan veteran, dalam edisi ke-52 yang berlangsung di Padang Astaka MBPJ dari 1 hingga 2 November ini.

Presiden Kelab Ragbi COBRA, Darryll Sinnappa berkata, inisiatif itu menandakan komitmen penganjur terhadap keterangkuman dan kesinambungan pembangunan ragbi di pelbagai peringkat usia serta jantina.

Katanya, penambahan dua kategori baharu itu menjadikan edisi kali ini lebih istimewa dengan penggabungan empat segmen iaitu elit lelaki, wanita, veteran dan remaja, sekali gus mengangkat COBRA 10s sebagai festival ragbi paling komprehensif di Asia Tenggara.

“Ragbi bukan lagi milik satu kelompok, kami mahu semua merasai semangatnya termasuk wanita dan pemain berpengalaman,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya, hari ini.

Kategori elit lelaki tetap menjadi tumpuan apabila menampilkan 12 pasukan dari tujuh negara termasuk Penguin Rugby (United Kingdom), Koko Samoa (Samoa), NTK Rugby (Afrika Selatan) dan POM Harlequins (Papua New Guinea).

Malaysia pula mempertaruhkan pasukan ternama seperti COBRA, KL Tigers, SSTMI Tsunami, MBPJ Knights, Royal Town Warriors Klang dan KRAS yang dijangka tampil garang di laman sendiri.

Kategori wanita pula menampilkan lima pasukan tempatan termasuk COBRA Venom, KL Tigers, Jaguar Rugby Club dan Sumandak Sabah yang akan berentap secara liga sepusingan sebelum mara ke separuh akhir.

Dalam kategori veteran (40 tahun ke atas), tiga pasukan handalan iaitu COBRA Legends, Asas Rugby Club dan KKB Great Walls bakal menghidupkan semula kenangan kehebatan lama dengan aksi penuh semangat juang.

Darryll menjelaskan, walaupun tiada hadiah wang tunai ditawarkan, prestij dan sejarah panjang COBRA 10’s sudah cukup menjadi daya tarikan buat kelab ternama dunia untuk terus mengambil bahagian.

“COBRA 10s adalah warisan ragbi Malaysia, simbol persahabatan antarabangsa dan pentas terbaik membuktikan semangat sukan tidak pernah mengenal usia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN