KUALA LUMPUR: Pengalaman mengikuti operasi penguat kuasa ketika bertugas sebagai wartawan jenayah mendorong bekas wartawan Kosmo!, Nur Azmi Nordin, 26, menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Inspektor Percubaan Nur Azmi berkata, selepas hampir dua tahun berkhidmat di meja jenayah, beliau berpeluang melihat secara dekat kecekalan dan disiplin anggota polis menjalankan tugas, sekali gus membangkitkan minat untuk menyertai pasukan keselamatan itu.
“Sebenarnya, saya tidak pernah terfikir untuk menyertai PDRM. Namun selepas sering mengikuti operasi bersama mereka, saya mula kagum dengan semangat dan komitmen pegawai polis.
“Apa yang lebih menguatkan tekad saya ialah melihat ketekunan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Yusof, yang tidak jemu memberi peringatan kepada masyarakat mengenai pencegahan jenayah,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan Inspektor Percubaan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol), di sini hari ini.
Anak kelahiran Ipoh, Perak itu berkata, pengalaman dalam dunia kewartawanan akan dimanfaatkan untuk berkhidmat kepada masyarakat dan berharap dapat ditugaskan dalam Bahagian Siasatan Jenayah, khususnya unit D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) di ibu negara.
Sementara itu, seorang lagi pelatih, Inspektor Percubaan Mahira Alias, 40, dari Lenggong, Perak, tidak menyangka dinobatkan sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan bagi sesi kali ini.
Ibu kepada empat anak itu membuat permohonan kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) selepas menamatkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 2022.
“Alhamdulillah, selepas setahun menunggu keputusan, saya akhirnya berjaya. Suami dan keluarga menjadi sumber kekuatan saya sepanjang sembilan bulan latihan di sini. Saya berazam terus berkhidmat dengan cemerlang serta menjaga integriti pasukan,” katanya.
Terdahulu, istiadat berkenaan meraikan seramai 345 Inspektor Percubaan yang berjaya menamatkan Program Latihan Asas Kepolisan di Pulapol Kuala Lumpur. – UTUSAN










