Dua beregu Malaysia ke separuh akhir Kejohanan Remaja Dunia

Dua beregu Malaysia ke separuh akhir Kejohanan Remaja Dunia

Ayu Fu Sheng tumpas kepada pilihan kedua, Richie Duta Richardo dari Indonesia 9-15, 9-15 dalam masa 25 minit. - IHSAN BAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu campuran negara, Loh Ziheng-Noraqilah Maisarah Ramdan memastikan slot separuh akhir menjadi milik mereka selepas menyekat kemaraan Ikhsan Lintang Pramudya-Rinjani Kwinnara Nastine dari Indonesia pada suku akhir Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2025 di Guwahati Assam, India, hari ini.

Memegang status sebagai pilihan pertama, Ziheng-Noraqilah hanya memerlukan masa selama 25 minit untuk menyingkirkan Ikhsan-Rinjani yang merupakan pilihan kesembilan 15-10, 15-8 di Pusat Kecemerlangan Nasional.

Apa yang lebih manis, kemenangan tersebut juga sebagai membalas dendam ekoran kekalahan beregu muda negara itu di tangan Ikhsan-Rinjani pada Kejohanan Remaja Individu Asia di Solo, Indonesia, Julai lalu.

Kemenangan itu membolehkan Ziheng-Noraqilah menyamakan rekod pertemuan dengan pasangan Indonesia tersebut menjadi 1-1.

Kemaraan Ziheng-Noraqilah ke separuh akhir, secara tidak langsung mengesahkan sekurang-kurangnya gangsa berada di dalam genggaman yang juga pingat pertama pasangan itu pada Kejohanan Remaja Dunia.

Pada separuh akhir, esok, Ziheng-Noraqilah bakal bertemu gandingan Taiwan, Hung Bing Fu-Chou Yun An yang menewaskan wakil tuan rumah, Bhavya Chhabra-Vishakha Toppo 15-9, 15-7.

Sekiranya rekod pertemuan 2-0 yang berpihak kepada beregu Malaysia menjadi ukuran, maka, Ziheng-Noraqilah berpeluang cerah memburu kemenangan untuk mara ke perlawanan akhir.

Kedua-dua kemenangan tersebut dicatat Ziheng-Noraqilah pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia Berpasukan Campuran yang berakhir, minggu lepas.

Nasib berbeza mengiringi satu lagi beregu campuran Malaysia, Tan Zhi Yang-Nicole Tan yang terpaksa akur kepada pilihan kedua, Lee Hyeong Woo-Cheon Hye In dari Korea Selatan 15-17, 16-14, 6-15 dalam masa 42 minit.

Turut mara ke suku akhir ialah beregu perempuan negara yang diletakkan sebagai pilihan ketiga, Low Zi Yu-Noraqilah yang dipaksa bekerja keras sebelum menundukkan pilihan kelima, Cheon Hye In-Moon In Seo dari Korea Selatan 7-15, 15-12, 15-12 dalam masa 37 minit.

Pada separuh akhir, Zi Yu-Noraqilah akan berdepan pilihan kelapan, Cao Zi Han-Chen Fan Shu Tian dari China.

Sementara itu, cabaran Malaysia dalam perseorangan lelaki berakhir apabila Ayu Fu Sheng tumpas kepada pilihan kedua, Richie Duta Richardo dari Indonesia 9-15, 9-15 dalam masa 25 minit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN