KUALA TERENGGANU: Jawatankuasa Task Force Penyelesaian Tanah Felda Terengganu mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima laporan tidak tepat berhubung tuntutan penyelesaian isu tanah yang diusahakan FGV Holdings Bhd. (FGV) di negeri ini.
Pengerusinya, Datuk Dr. Azman Ibrahim berkata, pihaknya sudah menjangka Perdana Menteri hanya mendapat maklumat dari Felda berhubung isu berkenaan sebelum membentangkannya kepada Jemaah Menteri.
“Sudah dijangka, PMX hanya dengar info sebelah pihak dari Felda kemudian maklum kepada Kabinet,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas laporan mengatakan Kerajaan Persekutuan sudah melunaskan segala keperluan kewangan berkaitan isu membabitkan 10 ladang Felda seluas kira-kira 15,000 hektar di Terengganu, namun wujud beberapa perkara yang tidak disusuli oleh kerajaan negeri.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ketika ini, kerajaan sedang menunggu tindakan lanjut daripada Kerajaan Negeri bagi memastikan proses penyelesaian berjalan lancar.
“Perdana Menteri telah memberi penjelasan mengenai isu tanah Felda yang ada pertikaian dengan pihak kerajaan negeri. Perdana Menteri menyatakan bahawa semua keperluan berkaitan tanah Felda telah dilunaskan dan dibayar sebelum ini, tetapi ada beberapa perkara yang tidak disusuli oleh kerajaan negeri,” katanya.
Semalam, Azman dilaporkan sedia memberi taklimat kepada Jemaah Menteri berhubung tindakan Kerajaan Negeri Terengganu mengeluarkan notis larangan menceroboh tanah tanpa kebenaran.
Beliau berkata, kerajaan negeri bersikap terbuka dalam perkara berkenaan dan sedia hadir sebagai pihak ketiga untuk memberi penerangan terhadap sebarang isu berbangkit atau persoalan yang timbul. – UTUSAN










