LONDON: Bos Arsenal, Mikel Arteta menyifatkan aksi Max Dowman sebagai sesuatu yang luar biasa selepas pemain berusia 15 tahun itu muncul sebagai pemain termuda dalam sejarah Arsenal ketika membantu pasukan menewaskan Brighton 2-0 dalam pusingan keempat Piala Liga, awal pagi tadi.
Anak muda sensasi itu tampil tenang di pentas besar, malah disambut tepukan gemuruh penyokong di Stadium Emirates sebaik digantikan pada separuh masa kedua selepas mempamerkan persembahan memukau menentang pemain senior Brighton.
“Dia hanya senyum kecil, itu sahaja reaksi yang saya dapat daripadanya. Bagi dia semuanya nampak semula jadi, dia tidak panik dan tidak membuat perkara itu kelihatan besar.
“Dia hanya bermain dengan keberanian, tekad dan mempamerkan kemahiran luar biasa walaupun baru berusia 15 tahun – itu sesuatu yang sangat istimewa,” kata Arteta.
Arsenal yang kini mendahului saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) meneruskan kemaraan ke suku akhir dan bakal menentang Crystal Palace selepas dua jaringan daripada Ethan Nwaneri serta Bukayo Saka memastikan kemenangan selesa di laman sendiri.
Dowman sebelum ini pernah diturunkan sebagai pemain gantian menentang Leeds, Liverpool dan Port Vale, namun aksi kali ini menyaksikan beliau benar-benar menyerlah sebagai bintang masa depan Gunners.
Arteta bagaimanapun menegaskan kelab perlu mengurus perkembangan pemain muda itu dengan berhati-hati memandangkan segala-galanya kini berlaku terlalu pantas buatnya.
“Kita perlu pastikan dia ambil langkah yang betul dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan besar ini, jadi biarlah dia terus mara dengan semangat sama tetapi dalam masa sama, kita juga perlu melindunginya,” katanya. – AGENSI










