SHANGHAI: Novak Djokovic bimbang dengan tahap kecergasannya biarpun mara ke separuh akhir Shanghai Masters selepas menundukkan pemain Belgium, Zizou Bergs 6-3, 7-5, kelmarin.
Pemain berusia 38 tahun itu menunjukkan ketenangan luar biasa meskipun berdepan keletihan dan masalah kesihatan sejak pusingan awal kejohanan.
Djokovic bakal berdepan Valentin Vacherot dari Monaco yang menghuni ranking ke-204 dunia selepas menyingkirkan Holger Rune dari Denmark 2-6, 7-6 (7/4), 6-4.
“Saya juga risau. Saya tidak mahu mendedahkan butiran lanjut kerana saya masih dalam kejohanan ini. Fokus saya kini hanyalah pada pemulihan dan memberi segalanya di gelanggang,” kata Djokovic.
Djokovic kelihatan keletihan apabila terpaksa menggunakan inhaler di tengah permainan, namun tetap mengawal rentak dengan memanfaatkan kesilapan lawan untuk menamatkan perlawanan dalam dua set.
Juara Grand Slam 24 kali itu sebelum ini muntah dan kejang otot dalam aksi menentang Jaume Munar, namun sorakan kuat penyokong Serbia memberi semangat untuknya terus bertahan.
“Saya memang berdepan masalah tenaga sejak kebelakangan ini, tapi setiap kali mendengar sorakan mereka, saya jadi lebih kuat,” katanya.
Sementara itu, Vacherot mengakui peluang bertemu legenda tenis dunia itu sesuatu yang tidak pernah dibayangkan selepas bermula hanya sebagai pemain gantian dalam senarai kelayakan.
“Apa yang saya banggakan ialah tubuh saya rasa cukup cergas. Saya tak sangka mampu mara sejauh ini dan kini akan berdepan Djokovic, ia sungguh tidak nyata,” kata pemain berusia 26 tahun itu. – AGENSI