SEPANG: Pelumba Great Britain, Jake Dixon yang mewakili pasukan ELF Marc VDS Racing Team mengungguli perlumbaan kelas Moto2 pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, dekat sini, hari ini.
Dixon mencatat masa terpantas 23 minit 05.269 saat (s) untuk mengutip 25 mata dalam perlumbaan 17 pusingan itu.
Pelumba Colombia, David Alonso dari pasukan CFMoto RCB Aspar Team pula menamatkan perlumbaan sebagai naib juara (23:07.304s), manakala, Barry Baltus yang bernaung di bawah pasukan Fantic Racing berada di kedudukan ketiga (23:08.014s).
Sementara itu, dua pelumba ‘wild card’ negara, Muhammad Helmi Azman dan Azroy Hakeem Anuar yang kedua-duanya mewakili pasukan Petronas MIE Racing RW sekadar berada di kedudukan ke-23 serta ke-24.
Berbeza dengan MotoGP dan Moto3 yang telahpun memutuskan juara dunia lebih awal, perlumbaan Moto2 masih lagi belum dapat memuktamadkan ‘sang juara’ dengan perlumbaan di Valencia dijangka menjadi penentu kepada perebutan gelaran tersebut.
Pelumba Brazil, Diego Moreira kini mendahului carta keseluruhan Moto2 dengan 256 mata, manakala, Manuel Gonzalez dari Sepanyol hanya keciciran sembilan mata untuk menghuni tempat kedua selepas mengumpul 247 mata.
Baltus pula berada di kedudukan ketiga keseluruhan selepas berjaya mengutip 221 mata setelah menokok 16 lagi mata dalam perlumbaan, hari ini. – UTUSAN









