SUNGAI PETANI: Pesalah jalan raya diberi tempoh dua bulan untuk menjelaskan saman tertunggak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui diskaun 50 peratus bermula 1 November hingga 30 Disember ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, diskaun itu membabitkan semua jenis saman kecuali kesalahan yang tidak boleh dikompaun.
“Pengguna diharap merebut peluang diberikan dengan menjelaskan saman tertunggak itu di mana-mana kaunter JPJ seluruh negara atau melalui saluran yang disediakan.
“Bagaimanapun ia tidak membabitkan kesalahan yang tidak boleh dikompaun dan perlu hadir ke mahkamah, Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas), Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal JPJ (P)23 (115),” katanya pada sidang akhbar Op Gempur malam tadi.
Katanya, orang ramai perlu merebut peluang itu kerana diskaun 50 peratus hanya diberi selama tempoh dua bulan sahaja dan bermula 1 Januari tahun depan tiada lagi diskaun terhadap kesalahan jalan raya membabitkan JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sementara itu, Aedy Fadly berkata, melalui Op Perang Lebih Muatan yang dilaksanakan JPJ bermula 14 Oktober lalu, sebanyak 1,017 kenderaan dikesan membawa barangan melebihi muatan dibenarkan.
“Sebanyak 1,696 pemandu dan pemilik kenderaan telah disaman mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (P22), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD) dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987, selain 96 lori turut disita.
“Hampir keseluruhan kenderaan yang disaman membawa muatan batu, kerikil dan besi melebihi muatan yang menjadi sasaran dalam operasi ini,” katanya. – UTUSAN










