KUALA LUMPUR: Pelumba muda Perancis, Joris Delbove muncul pemakai Jersi Hijau selaku juara keseluruhan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 selepas mengekalkan kedudukan dalam peloton pada peringkat terakhir dari Tangkak ke Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Wakil Team TotalEnergies itu menamatkan saingan lapan peringkat dengan masa keseluruhan 27 jam 17 minit 38 saat, menewaskan pelumba Uno X Mobility, Anders Halland Johannessen, dengan perbezaan tiga saat margin kemenangan paling kecil dalam sejarah 29 edisi LTdL.
Delbove menjadi pelumba Perancis kedua selepas Anthony Charteau (2007) yang berjaya menyarung Jersi Hijau Petronas, selain mencatat sejarah sebagai juara dengan perbezaan masa paling tipis pernah direkodkan.
Yannis Voisard dari Tudor Pro Cycling menamatkan saingan di tempat ketiga keseluruhan dengan ketinggalan enam saat, manakala rekod margin kemenangan terdahulu milik Jonathan Monsalve (Androni Giocattoli) pada 2011 dengan perbezaan lima saat menewaskan Libardo Nino (LeTua Cycling Team).
Kemenangan Delbove banyak dipengaruhi kejayaan menawan Bukit Fraser pada peringkat kelima, yang menjadi titik penting dalam pemburuan jersi hijau dan membolehkannya mengekalkan kedudukan pendahulu hingga ke penamat.
Kejayaan ini turut menjadi penebus kekecewaan bapa saudaranya, Jerome Delbove, yang gagal menyerlah dalam LTdL 2000.-UTUSAN