Danial yakin mampu lahirkan jaguh golf negara

Danial yakin mampu lahirkan jaguh golf negara

Kejohanan Jelajah Golf MyHE Olympian berlangsung di Kelab Golf Danau, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). - IHSAN PENGANJUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Pemain golf profesional negara, Muhammad Danial Faidz Jazmi percaya penganjuran seperti Kejohanan Jelajah Golf MyHE Olympian mampu menjadi pemangkin lahirnya generasi baharu pemain golf negara yang berupaya menggalas cabaran di peringkat antarabangsa termasuk Sukan Olimpik.

Faidz menyifatkan kejohanan julung kali yang berlangsung di Kelab Golf Danau, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu sebagai langkah strategik dalam memperkukuh pembangunan sukan golf di peringkat akar umbi.

Menurutnya, penyertaan lebih ramai pihak amat penting bagi memperluas minat dan meningkatkan populariti golf dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan muda.

“Sebagai pemain golf profesional, saya amat berbesar hati diberi peluang menjadi duta dalam menyokong perkembangan sukan golf di peringkat akar umbi.

“Perjalanan saya dalam dunia golf bermula sejak usia 10 tahun, lebih 15 tahun lalu, sebelum membawa saya beraksi ke peringkat antarabangsa termasuk di Amerika Syarikat,” kata Danial kepada pemberita selepas kejohanan di sini, hari ini.

Dalam masa yang sama, Danial turut menegaskan pengalamannya dalam arena golf akan disalurkan kepada generasi pelapis melalui Olympian Golf Academy, yang dilancarkan serentak dengan kejohanan berkenaan.

“Dengan penubuhan akademi ini, segala pengalaman, ilmu dan pendedahan yang saya peroleh dapat dikongsikan semula menerusi pendekatan pembangunan golf yang menyeluruh dan holistik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Olympia Education, Datuk Seri Abdul Rani Osman, berkata kejohanan berkenaan membuktikan golf bukan lagi sukan eksklusif, sebaliknya dilihat sebagai sukan masa depan yang mampu menarik minat golongan muda.

“Kita mahu menjadikan golf satu ekosistem yang merangkumi bakat muda, pendidikan serta teknologi moden supaya Malaysia tidak ketinggalan dalam pembangunan sukan ini.

“Dari kem junior hingga ke kem elit, inilah ruang untuk bakat anak-anak Malaysia diasah ke peringkat antarabangsa dengan pendekatan yang lebih menyeluruh dan sistematik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN