SHANGHAI: Keadaan cuaca panas dan lembap di Shanghai Masters menjadi ujian sebenar buat pemain dunia apabila Alexander Zverev rebah kepada pemain Perancis, Arthur Rinderknech 4-6, 6-3, 6-2 semalam.
Rinderknech memanfaatkan kelebihan ketahanan fizikal untuk menumbangkan pemain No.3 dunia itu dalam perlawanan yang berlangsung hampir dua jam di bawah suhu mencecah 35 darjah Celsius.
Zverev, yang terpaksa menukar kasut kerana peluh membasahi tapaknya, gagal mengekalkan rentak selepas mendahului set pertama.
Sebaliknya, pemain Perancis berusia 30 tahun itu terus menyerang dengan bijak sambil menahan tekanan cuaca yang memeritkan.
“Saya sendiri tak tahu bagaimana saya ubah permainan. Saya berjuang sekuat mungkin, sebab (Zverev) pemain hebat.
“Bagaimanapun, saya cuba menyerang dengan lebih pintar pada saat yang betul,” kata Rinderknech.
Kekalahan Zverev menambah senarai pemain utama yang tumbang di bawah suhu ekstrem selepas Jannik Sinner dan Taylor Fritz juga gagal meneruskan cabaran.
Kini Novak Djokovic menjadi satu-satunya bintang utama yang masih bertahan, dalam misi memburu gelaran kelima di Shanghai yang semakin memanaskan gelanggang. – AGENSI