TIDAK ramai menyangka sebuah bangunan sederhana di pinggir bandar Kuala Terengganu kini menjadi destinasi ‘wajib’ buat pecinta kek dan pastri.
Dikenali sebagai CantekSekali, kafe ini menawarkan lebih 70 jenis juadah menjadikannya antara lokasi makanan popular dalam kalangan warga tempatan dan pelancong. Memasuki ruang kafe ini seolah-olah melangkah ke dalam galeri kek dengan deretan kek tersusun kemas dalam peti sejuk lutsinar yang penuh dengan warna serta tekstur menggoda selera.

Reka bentuk dalaman pula tampil estetik dan cozy, dipenuhi dekorasi berinspirasikan gaya kafe Korea dengan sentuhan rustik moden. Walaupun suasana kelihatan mewah dan premium, harga yang ditawarkan tetap mesra poket dan mudah diakses oleh semua golongan.
Pemiliknya, Rina Nornahningsih Rahman berkata, keunikan CantekSekali terletak pada variasi menu yang jarang didapati di Terengganu.
CANTEKSEKALI CAFE
Alamat: Jalan Dato Isaacs, Kampung Dalam Bata, Kuala Terengganu
Waktu Operasi:
Sabtu hingga Khamis:
10 pagi – 7 petang

“Kami cuba bawa kelainan di sini. Bukan sekadar kek malah viennoiserie juga 100 peratus kami hasilkan dari dapur sendiri. Itu antara keunikan yang membezakan CantekSekali dengan kafe lain,” katanya.
Rina menjelaskan, sejak awal beroperasi, dia berpegang pada prinsip setiap produk mesti dihasilkan dengan penuh teliti. Pelanggan datang bukan sekadar membeli makanan tetapi mencari pengalaman yang akhirnya menjadi sebuah penceritaan untuk dikongsi bersama orang lain.
Pengunjung boleh menikmati viennoiserie bermula serendah RM3.50 manakala kek premium pula berharga antara RM10 hingga RM18 sepotong.
Antara kek pilihan ramai adalah Devil Chocolate Cake yang kaya dengan ganache coklat, Victoria Sandwich Cake pula kek gebu berlapis jem beri serta Pandan Nisang Cake yang istimewa dengan padanan harum pandan dan manis lemak gula Melaka. Turut menjadi rebutan Tiramisu serta Crispy Croissant yang jarang ditawarkan di kafe sekitar Terengganu.
“Ramai pelanggan cari croissant rangup ini sebab pilihan sebegini biasanya hanya mudah ditemui di Lembah Klang. Jadi, CantekSekali seolah-olah jadi tempat untuk mereka ‘lepaskan rindu’ suasana kafe bandar besar,” jelasnya.
Terbaru, CantekSekali memperkenalkan menu Crownies iaitu gabungan croissant dan brownies yang menjadi fenomena di ibu kota.
“Crownies ini antara menu paling mendapat sambutan dan ramai pelanggan teruja sebab mereka tidak sangka boleh jumpa menu yang tular di Kuala Lumpur, kini ada di Kuala Terengganu,” katanya lagi.
Katanya, pelancaran crownies adalah untuk memastikan CantekSekali sentiasa selangkah di hadapan. Menu baharu ini memberi peluang pelanggan merasai sesuatu yang sedang ‘in-trend’ di ibu kota. Bukan sekadar kek, kafe ini juga membawakan cita rasa Eropah melalui pelbagai pastri seperti croissant bermentega, pain au chocolat, tartlets, puff pastry dan roti mentega.
Lebih menarik, CantekSekali turut menawarkan hidangan panas menjadikannya sesuai untuk makan tengah hari atau minum petang. Antara menu popular adalah Pan Mee dalam versi sup atau kering bersama sambal cili istimewa CantekSekali.
Antara pilihan yang boleh dicuba pelanggan termasuk salted egg chicken rice, pasta, sup krim cendawan, salad ayam panggang dan lain-lain.
Harga bagi makanan panas bermula sekitar RM12 hingga RM20 dengan majoriti bahan dihasilkan sendiri dari dapur CantekSekali. Selain jualan di premis utama, pelanggan boleh membuat tempahan atas talian untuk kek hari jadi, cenderahati atau majlis khas melalui Instagram dan WhatsApp. – UTUSAN










