KUALA LUMPUR: Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memperoleh pendapatan sebanyak RM76,000 dalam tempoh sembilan bulan dengan menjual Bahan Penganiayaan Seksual Kanak-Kanak (CSAM) serendah RM30.
Remaja lelaki itu menggunakan aplikasi Tumblr memuat turun bahan CSAM sebelum dia mewujudkan kumpulan Telegram bagi menjual bahan itu.
Kebanyakan pelanggan yang menyertai kumpulan Telegram itu terdiri daripada rakan-rakan kepada pelajar terbabit.
Kegiatan itu terbongkar selepas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), dengan kerjasama erat Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (MCMC), berjaya menumpaskan kegiatan jenayah membabitkan bahan CSAM di ruang siber menerusi pelaksanaan operasi khas Op Pedo Bersepadu Polis Diraja Malaysia (PDRM)–SKMM 2.0 bermula 22 hingga 30 September lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, antara dapatan penting hasil operasi itu termasuk penglibatan individu yang diberi amanah seperti guru agama dan golongan remaja iaitu pelajar sekolah serta penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai pelaku antara usia 17 hingga 21 tahun.
“Salah satu tangkapan berusia 17 tahun mencatat aliran kewangan untuk sembilan bulan pertama tahun ini dengan jumlah RM76,000.
“Ini menunjukkan peralihan tahap moral yang membimbangkan,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Beliau berkata, peningkatan drastik fail CSAM dari tahun ke tahun membimbangkan sekaligus memerlukan kapasiti penyiasatan, kepakaran forensik digital serta infrastruktur penyimpanan bukti bagi menampung pertumbuhan eksponen data jenayah.
“Penemuan ini menuntut pendekatan penguatkuasaan berasaskan prinsip kerjasama erat antara agensi dalam menumpaskan jenayah yang dimaksudkan.
“PDRM menegaskan bahawa jenayah seksual terhadap kanak-kanak dalam talian adalah jenayah yang amat serius dan tidak akan dikompromi,” katanya.
Mohd. Khalid berkata, masyarakat disarankan untuk mempertingkatkan kesedaran keselamatan digital dalam kalangan keluarga, mengawal penggunaan peranti digital anak-anak, dan menyemai nilai moral serta akhlak dalam mendepani cabaran dunia siber moden.
“PDRM komited untuk memperkukuh kolaborasi strategik dengan SKMM serta agensi nasional dan antarabangsa bagi memastikan kanak-kanak dilindungi daripada sebarang bentuk eksploitasi, penderaan dan diskriminasi.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang memperdagangkan maruah dan keselamatan anak bangsa,” katanya.- UTUSAN










