KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti secara menyeluruh cadangan penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak Nasional bagi memperkukuh perlindungan hak serta kebajikan kanak-kanak di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata langkah itu susulan peningkatan pelbagai isu melibatkan keselamatan dan hak golongan tersebut yang memerlukan perhatian segera serta pendekatan lebih menyeluruh.
Katanya, cadangan dikemukakan oleh Rodziah Ismail (PH–Ampang) itu akan diteliti dari pelbagai aspek termasuk mandat, struktur organisasi, bidang kuasa perundangan serta implikasi kewangan supaya tidak bertindih dengan institusi sedia ada.
“Ketika ini, fungsi berkaitan hak kanak-kanak dilaksanakan oleh Pesuruhjaya Kanak-Kanak di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang menasihati kerajaan, memantau pelaksanaan Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) dan menyiasat aduan pelanggaran hak,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.
Azalina berkata, kerajaan berpandangan peranan dan autonomi Pesuruhjaya Kanak-Kanak di bawah SUHAKAM wajar diperkukuh sebagai langkah segera sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung penubuhan suruhanjaya baharu.
Katanya, kajian lanjut juga akan dilakukan bagi menentukan model institusi paling sesuai berasaskan amalan terbaik antarabangsa dan disesuaikan dengan keperluan tempatan.
“Jawatan Pesuruhjaya Kanak-Kanak diwujudkan mengikut Seksyen 6A Akta SUHAKAM 1999 (Akta 597) yang tidak hanya tertumpu kepada isu kanak-kanak semata-mata, tetapi juga pemajuan hak asasi manusia secara keseluruhan,” katanya.
Statistik 2023 mendedahkan seramai 9.13 juta kanak-kanak bawah 18 tahun, bersamaan 27.4 peratus daripada keseluruhan populasi Malaysia, menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh mekanisme perlindungan, termasuk cadangan menempatkan Pesuruhjaya Kanak-Kanak di setiap negeri pada masa hadapan.
Ketika ini, tiga Pesuruhjaya Kanak-Kanak berkhidmat di bawah SUHAKAM iaitu Dr. Mohd. Al Adib Samuri, Dr. Zufar Yadi Brendan Abdullah dan Melissa Mohd Akhir, diketuai oleh Dr. Farah Nini Dusuki. – UTUSAN










