KUALA LUMPUR: Skuad tenis negara berdepan cabaran sengit dalam merealisasikan impian mereka untuk mendapatkan pingat emas terutamanya dalam kategori wanita pada Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember ini.
Ini kerana beberapa pemain handalan seperti Alex Eala dari Filipina dan Janice Tjen (Indonesia) berkemungkinan beraksi di temasya dwitahunan itu.
Eala berada di ranking ke-54 dunia membuat penampilan sulungnya di Wimbledon musim ini tersingkir pada pusingan pertama manakala Tjen di kedudukan ke-99 pula beraksi di Terbuka Amerika Syarikat (AS) namun tewas kepada bintang Britain, Emma Raducanu di pusingan kedua.
Mengulas lanjut, ketua jurulatih negara, Mulyadi Jamal mengakui cabaran gentir menanti skuad kebangsaan namun sasaran pingat tetap diletakkan dengan harapan diberikan kepada pemain lelaki.
“Kita tahu main di Thailand memberi kelebihan kepada tuan rumah malah mereka ada tiga pemain lelaki yang mana ranking mereka lebih baik berbanding pemain kita begitu juga Indonesia.
“Wanita pula, Filipina ada Eala yang pernah main di grand slam dan Jane dari Indonesia. Thailand pula ada dua pemain yang betul-betul boleh beri cabaran untuk dapatkan emas. Kita lihat macam mana.
“Kali ini sasaran untuk pemain lelaki dan wanita dapatkan pingat. Kalau boleh memang nak emas. Lelaki berpasukan kita sasar ke final manakala wanita berpasukan gangsa,” katanya.
Mulyadi ditemui pemberita selepas Timbalan Ketua Kontinjen Negara ke Sukan SEA 2025, Datuk Kenny Goh melawat sesi latihan skuad negara di Pusat Latihan Tenis Nasional, semalam.
Sebagai rekod, Malaysia tidak pernah memenangi pingat emas bagi sukan tenis sepanjang penampilan di Sukan SEA.-UTUSAN