Bukan senang nak 'survive' lawan JDT - Wan Rohaimi

Bukan senang nak ‘survive’ lawan JDT – Wan Rohaimi

Wan Rohaimi Wan Ismail 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : “Bukan senang nak ‘survive’ (bertahan) lebih 45 minit lawan JDT (Johor Darul Ta’zim) dengan 10 orang. Tapi, pemain-pemain saya berjaya dan ini membuktikan bahawa mereka ada kualiti.”

Itu kata ketua jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail ketika mengulas mengenai persembahan anak-anak buahnya selepas tewas 1-2 kepada skuad Harimau Selatan itu dalam aksi pertama suku akhir Piala FA di Stadium Bandaraya, semalam.

Meskipun tewas, Wan Rohaimi berkata, beliau berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya sepanjang perlawanan tersebut.

“Saya boleh bagi pujian kepada pemain-pemain saya atas kesungguhan dan komitmen yang diberikan mereka sehingga ke minit-minit akhir perlawanan.

“Saya cuma ‘demand’ (minta) komitmen daripada mereka sahaja dan tidak mengulangi kesilapan seperti yang berlaku di Johor tempoh hari (dibelasah 0-6 dalam perlawanan Liga Super).

“Alhamdulillah, hari ini (semalam) mereka lebih fokus dan bersatu hati ketika menentang JDT,” kata bekas pemain kebangsaan itu lagi.

Mengulas mengenai kad merah yang diterima oleh Ahmad Irfan Mohd. Noor pula, Wan Rohaimi memberitahu, beliau memahami situasi yang dihadapi oleh pemain kelahiran Sik, Kedah itu pada masa tersebut.

“Bersaing menentang pasukan seperti JDT, kita sebenarnya tidak ada banyak ruang (untuk membuat kesilapan). Dalam masa singkat, kita juga kena buat satu keputusan yang tepat.

“Saya percaya apa yang dia (Ahmad Irfan) lakukan ketika itu adalah tindakan refleks yang tak dapat dikawal dan semoga dia belajar sesuatu daripada apa yang berlaku itu,” kata beliau.

Wan Rohaimi turut menuntut agar anak-anak buahnya mengekalkan konsistensi dalam aksi kedua suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), 28 Oktober ini meskipun menyedari laluan yang menanti Penang FC amat berliku.

“Kita tahu adalah sangat sukar untuk mengimbangi JDT di sana (SSI) dan sudah tentu mereka tidak akan beri ruang kepada kita. Tapi, saya mahu pemain-pemain saya kekalkan komitmen yang sama seperti yang ditunjukkan hari ini,” ujarnya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN