PETALING JAYA: Tiada elemen ‘kejutan’ buat pekebun-pekebun kecil dalam Belanjawan 2026 yang dibentangkan hari ini.
Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Adzmi Hassan berkata, apa yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai penyambungan inisiatif daripada belanjawan sebelum ini.
Menurutnya, pihak kerajaan perlu meneliti semula permohonan kami dalam membangunkan industri pekebun-pekebun kecil di Malaysia.
“Nampak macam penyambungan apa yang kami dapat pada tahun 2025, tidak ada surprise.
“Sebelum ini, kami ada memohon mengenai tabung pembangunan pembangunan kecil namun nampaknya untuk Belanjawan 2026 kali ini masih belum diwujudkan pihak kerajaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2026 hari ini berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM120 juta bagi membela nasib pekebun kecil yang memerah keringat yang mencari rezeki di ladang.
Beliau yang juga Perdana Menteri berkata, peruntukan itu untuk menampung sebahagian kos tanaman semula pekebun kecil sawit bagi menggantikan sawit tua dan menggalakkan pekebun kecil getah menghasilkan getah termasuk mengusahakan semula ladang-ladang getah persendirian yang terbiar.
Adzmi bagaimanapun tetap menyokong usaha kerajaan dalam memajukan industri pekebun-pekebun kecil.
“Saya amat berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana masih meneruskan usaha-usaha untuk memajukan industri pekebun-pekebun kecil di Malaysia,” katanya. – UTUSAN










