Belanjawan 2026 kukuhkan hubungan kerajaan Persekutuan, Sarawak

Belanjawan 2026 kukuhkan hubungan kerajaan Persekutuan, Sarawak

ABANG JOHARI TUN OPENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peruntukan sebanyak RM6 bilion untuk Sarawak yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2026 semalam menjadi bukti komitmen Kerajaan Madani dalam memperkukuh hubungan dengan kerajaan negeri serta memastikan pembangunan negeri itu terus diperkasa.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah tersebut menunjukkan keprihatinan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keperluan pembangunan Sarawak sekali gus memastikan negeri ini terus menikmati kemajuan yang seimbang dengan wilayah lain.

“Saya ingin mengucapkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan kerana memperuntukkan RM6 bilion dalam belanjawan akan datang. Sudah tentu, ia dapat merapatkan lagi hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa Sempena Sambutan Hari Lahir Ke-79 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Padang Merdeka hari ini.

Abang Johari turut menekankan kepentingan pelaksanaan pembangunan negara secara seimbang agar Sarawak turut menikmati limpahan ekonomi dan kemajuan yang pesat. 

“Apa yang lebih penting adalah memastikan hala tuju pembangunan ekonomi negara turut memberi tumpuan lebih kepada Sarawak,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2026 semalam, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peningkatan kadar Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak kepada RM600 juta berbanding RM300 juta pada 2023. 

Langkah itu dilihat sebagai pengiktirafan terhadap status dan keperluan pembangunan kedua-dua wilayah tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN