Belanjawan 2026: KKR teruskan inisiatif MyJalan

Belanjawan 2026: KKR teruskan inisiatif MyJalan

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan terus melaksanakan inisiatif penyelenggaraan dan pembaikan jalan di seluruh negara melalui Program MyJalan, sejajar dengan peruntukan Belanjawan 2026.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keselamatan pengguna jalan raya menjadi keutamaan kementerian.

“Usaha membaik pulih dan menyelenggara prasarana jalan perlu dilaksanakan segera kerana ia melibatkan keselamatan nyawa,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Program MYJALAN menerima peruntukan RM2.5 bilion bagi penyelenggaraan Jalan Persekutuan. 

Selain itu, 3,000 lampu LED baharu akan dipasang di lokasi berisiko kemalangan. RM260 juta turut diperuntukkan untuk kerja-kerja keselamatan cerun di kawasan berisiko tinggi.

“Bagi pembaikan segera, RM30 juta disediakan kepada 115 Jurutera Daerah JKR untuk kerja-kerja kecil seperti turapan jalan, tampalan garisan jalan, pembaikan lampu jalan dan lampu isyarat, termasuk pembaikan akibat bencana.

“KKR turut memperkukuh pemerkasaan kontraktor tempatan dengan menaikkan peruntukan untuk kontraktor kecil Bumiputera G1–G4 daripada RM450 juta kepada RM700 juta.

“Langkah ini memberi peluang lebih luas kepada kontraktor tempatan terlibat dalam penyelenggaraan jalan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat,” katanya.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, Sabah dan Sarawak kekal menjadi keutamaan dengan projek strategik seperti Pan Borneo Sabah, Sabah–Sarawak Link Road (SSLR) dan Lebuhraya Trans Borneo (LTB). Projek naik taraf Jalan Durin–Salim dan Jalan Kalabakan–Simanggaris diteruskan bagi meningkatkan keselamatan serta jaringan jalan sempadan.

Menurutnya, di Semenanjung Malaysia, projek berimpak tinggi seperti Penyuraian Trafik PLUS (Juru–Sungai Dua), underpass Mount Erskine–Burma, naik taraf Lebuhraya Senai–Desaru, jalan baru Masjid Tanah–Telok Gong, Jejambat Batu 9 Cheras serta Lebuhraya Kuantan–Segamat dan Jambatan Serengkam–Kuala Wau diteruskan.

“Projek-projek ini dijangka memberi manfaat langsung kepada rakyat melalui penjimatan masa perjalanan, keselamatan pengguna dan pembangunan wilayah seimbang,” katanya.

Katanya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) turut diperuntukkan RM10 juta untuk latihan, pensijilan dan pembangunan kemahiran kontraktor Bumiputera serta belia, termasuk penerapan teknologi baharu dan amalan pembinaan hijau.

“Belanjawan MADANI 2026 jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam pembangunan infrastruktur yang selamat, mampan dan memberi manfaat terus kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN