PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan petang ini bukan sekadar angka dan perbelanjaan, sebaliknya menjadi hala tuju untuk memastikan kerajaan terus membantu rakyat tanpa menambah beban hutang negara.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan komited melaksanakan dasar fiskal berhemah sambil menumpukan perhatian kepada kesejahteraan rakyat serta pengukuhan ekonomi negara.
“Insya-Allah, petang ini saya akan membentangkan Belanjawan MADANI Keempat di Dewan Rakyat.
“Belanjawan ini bukan sekadar angka dan perbelanjaan tetapi hala tuju untuk memastikan kerajaan terus membantu rakyat tanpa menambah beban hutang negara,” katanya di Facebook miliknya hari ini.
Belanjawan 2026 merupakan belanjawan keempat dalam Kerajaan Madani dan pertama bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan menjadi asas utama bagi pelaksanaan pelan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.
Pembentangan Belanjawan 2026 akan disiarkan secara langsung menerusi platform berita Utusan Malaysia, stesen televisyen tempatan dan platform media sosial.
Menurut kenyataan Prabelanjawan 2026, Belanjawan 2026 akan meneruskan momentum berpandukan asas kukuh yang telah dibina menerusi Belanjawan Madani sebelum ini.
Belanjawan 2026 juga akan terus memaknai tiga tonggak utama Ekonomi Madani, iaitu menaikkan siling pertumbuhan negara, menaikkan lantai taraf hidup rakyat, serta tatakelola baik dan reformasi sektor awam. – UTUSAN










