KUALA LUMPUR: Datuk Mohd. Azani Omar secara rasmi hari ini memulakan tugas sebagai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu menggantikan Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad yang bersara wajib pada 27 Oktober lalu.
Pelantikan bekas Juruiring Polis kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim itu dimeterai dalam satu majlis pemakaian pangkat serta serah terima tugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, disaksikan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus.
Majlis turut menyaksikan pelantikan Asisten Komisioner Wong Yuen Chuan sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kuala Lumpur manakala Asisten Komisioner Sazalee Adam dilantik Ketua Polis Daerah Dang Wangi.
Sazalee menggantikan Senior Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman yang kini bertugas sebagai Juruiring Polis kepada Sultan Ibrahim.
Fadil mengucapkan tahniah kepada semua pegawai yang dilantik dan menyifatkan pelantikan itu sebagai pengiktirafan atas khidmat cemerlang mereka kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan negara. – UTUSAN










