SABAK BERNAM: Seramai 10 sekeluarga termasuk seorang bayi dan nenek terselamat dalam kebakaran sebuah rumah pusaka di Kampung Bagan Nira, Sabak di sini, kelmarin.
Kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu pada mulanya disedari salah seorang penghuni yang terhidu bau hangit ketika mahu pergi ke tandas.
Mangsa, Rumaizah Abd. Manaf, 51, berkata ketika kejadian dia sedang berehat di ruang tamu tingkat bawah rumah dua tingkat berkenaan.
“Namun, saya terkejut mendengar jeritan adik lelaki berlakunya kebakaran tilam di dalam sebuah bilik dan api mula merebak. Tidak lama kemudian, bunyi letupan kedengaran dan kami segera keluar menyelamatkan diri,” katanya hari ini.
Tambahnya, dia bersyukur ibunya, Aminah Bahatan, 71, yang sedang tidur di tingkat atas dan cucu lelaki bayi berusia lebih seminggu turut terselamat dalam kebakaran itu.
“Keseluruhan rumah pusaka itu musnah termasuk perabot dan barangan elektrik dengan kerugian kira-kira RM500,000. Kami kini hanya tinggal sehelai sepinggang dan menumpang sementara di rumah saudara mara berdekatan,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Zon 7 Selangor Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Samsol Maarif Saibani berkata, kebakaran itu melibatkan sebuah rumah kelas C berkeluasan 20×70 kaki persegi dan terbakar 100 peratus.
“Operasi pemadaman dikawal sepenuhnya pukul 10 malam dengan kekuatan 15 anggota dan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam, Hutan Melintang dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Sabak Bernam.
“Tiada mangsa dilaporkan cedera atau terperangkap dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya. – UTUSAN










