SEPANG: Barisan peguam dari Malaysia bersama wakil daripada The Legal Centre for Arab Minority Rights in Israel (ADALAH) sudah pun bersiap sedia di Jordan ketika ini, sekiranya dipanggil ke Pelabuhan Ashdod bagi mewakili 23 sukarelawan misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang telah ditahan.
Menurut Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby, sebarang sesi soal siasat membabitkan sukarelawan yang telah ditahan memerlukan kehadiran daripada barisan peguam berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini barisan peguam Malaysia dan wakil ADALAH masih belum dipanggil bagi proses tersebut.
“Petang tadi kita telah pun berhubung melalui barisan peguam Malaysia yang sekarang ini berada di Jordan, mereka belum dipanggil, maksudnya pihak ADALAH belum dipanggil.
“Namun (mereka) sudah pun bersiap sedia kerana barisan peguam ini memang berada di sana, cuma belum dipanggil untuk masuk menjadi wakil (kerana) sebarang sesi soal siasat mesti lah ada wakil,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Sani Araby berkata, kesemua sukarelawan yang menyertai misi berkenaan telah pun dibekalkan dengan latihan di mana mereka tidak akan memberikan apa-apa jawapan, sekiranya melalui proses soal siasat tanpa kehadiran pihak peguam.
“Sebarang sesi soal siasat mesti lah ada wakil dan dalam latihan yang telah kita berikan di darat dan juga di atas kapal, mereka (sukarelawan) tidak akan memberi jawapan sekiranya mereka tidak melihat barisan peguam yang telah pun kita lantik mengikut kepada SOP (prosedur operasi standard) yang telah pun ditetapkan,” ujarnya. – UTUSAN