SEPANG: Juara dunia dua kali MotoGP, Francesco Bagnaia menepis dakwaan bahawa prestasi hambarnya musim ini berpunca daripada tekanan menjadi rakan sepasukan Marc Marquez di Ducati.
Spekulasi mengenai gangguan mental akibat kehadiran Marquez di garaj Ducati kembali diperkatakan selepas Bagnaia gagal menamatkan tiga daripada empat perlumbaan terakhir biarpun menang di Jepun.
“Saya alami kesukaran sebelum Marc berada di trek, dan saya masih alami masalah sekarang walaupun dia sudah di rumah. Jujurnya, masalah yang saya hadapi kini berbeza, bukan kerana dia (Marquez),” kata Bagnaia.
Pelumba Itali itu kini menanggung tekanan besar sebagai sandaran utama Ducati selepas Marquez disahkan tidak dapat beraksi sehingga tamat musim akibat kecederaan.
Walaupun gagal mara terus ke Q2 di Sepang kelmarin, Bagnaia percaya dirinya semakin menemui rentak selepas membuat sedikit penambahbaikan pada jentera GP25.
“Ada sedikit kekacauan di hujung sesi, sebab itu kami terlepas Q2. Tapi selepas dua minggu yang sukar, saya rasa kami sudah ambil langkah positif dan harap dapat perbaiki lagi dalam sesi seterusnya,” katanya.
Bagnaia mengakui isu kestabilan jentera yang membelenggunya sejak perlumbaan di Austria kembali muncul di Sepang, terutamanya di selekoh terakhir yang menghalang cengkaman dan kuasa pecutannya.
Ducati kini giat meneliti punca sebenar ketidakstabilan itu menjelang pusingan penentu musim ini, dengan Bagnaia bertekad membuktikan dirinya masih pelumba utama Ducati walau tanpa bayangan Marquez. – AGENSI










