Azuan tekad bawa Hakim Danish jejak podium MotoGP

Azuan tekad bawa Hakim Danish jejak podium MotoGP

Hakim Danish bakal mengibarkan Jalur Gemilang sebagai pelumba wildcard kategori Moto3 pada Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang dari 24 hingga 26 Oktober ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bagi Pengarah Urusan Mitratech Asia, Mohd. Azuan Izadee Md. Nordin, sokongannya terhadap pelumba muda sensasi negara, Hakim Danish Ramli bukan sekadar penajaan semata-mata, sebaliknya satu misi peribadi untuk melihat bakat itu menjejak kaki ke pentas berprestij dunia, MotoGP.

Hakim Danish, 18, bakal mengibarkan Jalur Gemilang sebagai pelumba wildcard kategori Moto3 pada Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang dari 24 hingga 26 Oktober ini hasil gabungan sokongan korporat dan peminat sukan permotoran tempatan.

Azuan, 39, menegaskan komitmennya terhadap Hakim Danish bukanlah bersifat sementara, sebaliknya satu pelaburan jangka panjang yang disemai dengan keyakinan bahawa Malaysia mampu melahirkan pelumba bertaraf dunia.

“Selagi saya mampu dari segi kewangan dan selagi Hakim serta pasukan ZK Racing terus menunjukkan peningkatan, Insya-Allah saya akan terus bersama mereka,” kata Azuan

Beliau menjelaskan, penajaan tersebut bukan sahaja demi memperkukuh nama syarikatnya dalam arena permotoran, tetapi juga sebagai usaha menunjukkan bahawa syarikat tempatan yang tidak mempunyai kaitan langsung dengan sukan itu turut mampu memberi impak besar.

Katanya, keputusan untuk menaja dibuat sejurus beliau dimaklumkan mengenai slot wildcard Hakim Danish apabila tanpa berfikir panjang terus menghubungi ZK Racing untuk menzahirkan sokongan.

“Bagi saya, ini bukan sekadar pencapaian peribadi tetapi satu tanggungjawab sosial – membuktikan kita tidak perlu menjadi gergasi automotif untuk berdiri di belakang wira negara,” katanya lagi.

Azuan yang juga peminat tegar sukan permotoran sejak di bangku sekolah dan kini Pengerusi Kelab Sukan Bermotor BRAAAP, tidak menafikan minat itu sudah berakar sejak muda meskipun datang daripada keluarga sederhana.

“Minat saya bermula semasa sekolah, tetapi peluang hanya muncul di universiti. Saya gunakan duit pinjaman JPA untuk beli motosikal pertama dan menyertai sesi tunggangan di litar. Dari situ semuanya bermula,” ujarnya.

Berasaskan pengalaman itu, Azuan bertekad membantu pelumba seperti Hakim Danish supaya tidak melalui kesukaran yang pernah dilaluinya dahulu, malah yakin anak muda itu memiliki disiplin dan kematangan untuk pergi lebih jauh hingga ke MotoGP. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN