Audio mirip MB Perlis tular, Pemuda UMNO buat laporan polis - Utusan Malaysia

Audio mirip MB Perlis tular, Pemuda UMNO buat laporan polis

AHMAD Nazrin Abdul Aziz menunjukkan rakaman klip audio yang tular di laman TikTok didakwa mirip suara Menteri Besar selepas membuat laporan di IPD Arau, Perlis, hari ini.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pergerakan Pemuda UMNO negeri membuat laporan polis berhubung penularan satu klip audio mirip suara Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli yang didakwa menyentuh perihal perbincangan peribadi antara beliau dengan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Laporan tersebut dibuat bagi membolehkan siasatan berhubung perkara itu dijalankan memandangkan perbincangan tersebut sepatutnya sulit.

Laporan dibuat oleh Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Arau, Hazalan Haron di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, di sini, kira-kira pukul 5 petang ini.

Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Ahmad Nazrin Abdul Aziz berkata, penularan audio berkenaan menyentuh perihal perbincangan peribadi antara Menteri Besar dengan Raja Perlis berkaitan urusan pelantikan ketua jabatan dan penjawat awam di negeri ini serta beberapa perbincangan lain yang sepatutnya sulit.

Beliau berkata, pihaknya mula menyedari kewujudan audio itu sejak semalam selepas rakaman berkenaan didapati tular menerusi laman TikTok.

“Pemuda UMNO membuat laporan ini bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat sama ada tindakan berkenaan melibatkan pelanggaran undang-undang termasuk Akta Hasutan 1948 dan Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88).

“Tindakan mendedahkan perbincangan itu adalah amat tidak wajar berikutan boleh menimbulkan tanggapan bahawa institusi diraja terlibat dalam urusan pentadbiran dan politik negeri. Hal ini juga boleh menjejaskan imej kemuliaan dan kedaulatan institusi diraja yang seharusnya kekal bebas daripada sebarang pengaruh politik,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Nazrin yang juga pemangku Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau berkata, laporan dibuat itu bukannya atas kepentingan politik mana-mana pihak namun lebih kepada tanggungjawab moral dalam mempertahankan institusi diraja.

Beliau juga menyeru semua pimpinan negeri dan penjawat awam di Perlis agar lebih berhati-hati dalam membuat sebarang ucapan yang menyentuh hubungan dengan institusi diraja.

“Keutuhan institusi diraja perlu sentiasa dipertahan dan saya percaya polis akan melakukan siasatan dengan adil serta profesional dengan mengambil tindakan sewajarnya jika ada sebarang pelanggaran undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md. Rodi mengesahkan menerima laporan berhubung penularan audio berkenaan.

Katanya, polis turut merakam percakapan pengadu di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN