KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan atlet negara tidak boleh berdiam diri sekiranya menerima sebarang mesej berbentuk ugutan, sebaliknya perlu segera membuat laporan polis.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi membolehkan pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan terhadap individu yang bertindak melampaui batas hingga mengancam keselamatan atlet mahupun persatuan.
“Kalau ugutan itu melibatkan keselamatan diri, nyawa atau persatuan, saya nasihatkan supaya segera buat laporan polis supaya MCMC dan polis boleh ambil tindakan,” katanya.
Menurut Hannah, meskipun kritikan terhadap atlet di media sosial bukan perkara baharu, namun sebarang bentuk ancaman fizikal atau keselamatan tidak wajar dipandang ringan.
“Kecaman itu biasa kerana prestasi atlet memang jadi perhatian sama ada ketika menang atau kalah. Tapi kalau sudah sampai tahap ugutan, itu bukan perkara kecil,” tegasnya.
Beliau dalam masa sama mengingatkan pengguna media sosial supaya lebih beretika ketika mengulas prestasi atlet dan tidak bertindak keterlaluan.
“Ada akaun sebenar, ada akaun palsu, malah ada juga yang dikendalikan oleh kanak-kanak.
“Kadang-kadang mereka sendiri tidak faham kesan kenyataan yang mereka tulis,” katanya.
Sementara itu, Hannah turut menasihatkan atlet supaya menghadkan masa di media sosial terutama sebelum dan selepas perlawanan bagi mengelak emosi mereka terjejas serta memastikan tumpuan kekal terhadap prestasi di gelanggang.
Sebelum ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyuarakan rasa kesal dan mengecam keras tindakan segelintir individu yang sanggup menghina serta mengugut pemain badminton negara menerusi media sosial sejak kebelakangan ini.-UTUSAN










