PETALING JAYA: Dua tahun berturut-turut, dua pentas akhir dan dua kali air mata pemain badminton remaja wanita negara, Low Zi Yu ‘gugur’ selepas impian membawa pulang gelaran juara dunia remaja sekali lagi berkecai di final.
Di Guwahati, India kelmarin, Zi Yu bersama gandingan baharunya, Noraqilah Maisarah Ramdan, tewas tipis 13-15, 17-19 kepada pasangan China, Tan Ke Xuan-Wei Yue Yue dalam final Kejohanan Badminton Remaja Dunia yang hanya memakan masa 37 minit, namun meninggalkan luka mendalam.
Zi Yu yang dua kali meraih gelaran naib juara dunia mengakui perasaan kecewa itu sukar digambarkan, apatah lagi selepas dua tahun berjuang untuk menukar warna pingat.
Bagi pemain berusia 15 tahun itu, perak tetap berharga, namun hakikat bahawa emas masih belum menjadi miliknya menjadikan kejayaan ini terasa separuh manis.
“Saya tetap rasa gembira kerana dapat perak, tetapi kalau dapat emas tentu lebih baik,” kata Zi Yu.
Kekalahan ini mengulangi detik pedih tahun lalu apabila Zi Yu yang ketika itu bergandingan dengan Dania Sofea Zaidi turut tewas di final kepada wakil Jepun, Ririna Hiramoto-Aya Tamaki dalam straight set.
Bezanya kali ini, Dania terpaksa menarik diri akibat kecederaan lutut Anterior Cruciate Ligament (ACL) Ogos lalu, membuka ruang buat Noraqilah tampil sebagai pengganti yang hampir mencipta keajaiban namun terhenti di garisan akhir.
“Kami bermain tidak begitu baik dan saya rasa lawan bermain dengan sangat berani. Pada set kedua mereka lebih berani melakukan sesuatu dengan bulu tangkis, sedangkan kami mula rasa takut sedikit.
Apa yang memeritkan, Malaysia masih menanti beregu perempuan pertama menjulang kejuaraan dunia remaja sejak edisi sulung 33 tahun lalu, menjadikan kegagalan kali ini bagaikan kesinambungan sumpahan yang belum terlerai. – UTUSAN