KEMAMAN: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Aiman Rosli hampir mencuri tumpuan besar pada peringkat keempat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 hari ini apabila mendahului perlumbaan sehingga tiga kilometer terakhir sebelum akhirnya ditewaskan kelompok utama.
Aiman, 26, berkata kejayaan menguasai perlumbaan dalam tempoh panjang itu bukan kebetulan, sebaliknya hasil taktikal pasukan yang merancang untuk melepaskannya bersama kelompok pecahan.
“Sejak awal pagi, pasukan memang arahkan saya cuba pecahkan kelompok. Alhamdulillah, strategi itu menjadi bila saya berjaya kutip dua zon pecutan, menang zon pendakian di Kijal, dan dinobatkan pelumba paling menyerlah hari ini.
“Jadi, tugasan saya selesai,” katanya selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-110.
Aiman yang mengerah tenaga habis-habisan selepas zon pendakian terakhir mengakui sedikit kecewa gagal mempertahankan kedudukan, namun tetap berpuas hati dengan usaha ditunjukkan.
“Memang saya cuba buat kejutan bila lawan dalam ‘breakaway’ sudah letih. Malangnya tiga kilometer terakhir mereka dapat kejar. Saya puas hati sebab sekurang-kurangnya dapat cuba,” katanya.
Mengintai peluang pada baki empat peringkat lagi, Aiman menyasarkan untuk kembali mencabar di peringkat ketujuh dari Melaka ke Medini.
“Itu laluan laju dari awal, memang sesuai dengan cara saya. Insya-Allah, kalau ada peluang, saya akan cuba lagi,” tegasnya.
Ditanya mengenai cabaran Bukit Fraser esok, Aiman menyerahkan tugas itu kepada rakan sepasukan yang lebih pakar mendaki.
“Itu medan untuk pendaki. Kalau saya boleh terlepas dalam ‘breakaway’, saya cuba. Kalau tidak, kita serah kepada pakar pendakian TSG,” jelasnya.
Walaupun mengakui mula terasa kepenatan selepas empat peringkat, Aiman menegaskan semangat juangnya masih membara.
“Semalam memang teruk, tapi itu adat berlumba. Dengan pemulihan betul, saya sudah bersedia untuk baki saingan. Menyerah kalah memang tiada dalam kamus saya,” katanya penuh keyakinan. – UTUSAN