SEPANG: Pelumba Sepanyol, Pedro Acosta mencatat masa terpantas pada sesi latihan bagi kelas MotoGP yang sekali gus melayakkannya terus ke pusingan kelayakan 2 (Q2) bagi kelas utama, MotoGP pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Sepang, hari ini.
Bernaung di bawah pasukan Red Bull KTM Factory Racing, Acosta mencipta masa terpantas sepusingan 1 minit 57.559 saat (s).
Pelumba veteran dari Perancis, Johann Zarco yang mewakili pasukan Castrol Honda LCR berada di kedudukan kedua menerusi catatan masa 1:57.578s, manakala, tempat ketiga menjadi milik Jack Miller dari Australia dengan lakaran masa 1:57.840s.
Sementara itu, Joan Mir dari pasukan Honda HRC Castrol pula berada di tangga keempat (1:57.854s) dan Fabio Quartararo menamatkan sesi latihan itu di tempat kelima (1:57.868s)
Kelima-lima pelumba itu memastikan mereka akan terus ke saingan Q2, esok, tanpa perlu beraksi dalam kelayakan 1 (Q1).
Selain lima perlumba tersebut, turut ke Q2 secara automatik adalah sembilan lagi pesaing yang berjaya berada dalam kelompok 14 terbaik.
MotoGP yang telahpun memiliki juara dunia lebih awal iaitu Marc Marquez dari Sepanyol yang mengesahkan gelarannya pada GP Jepun, bulan lalu, tidak beraksi di Sepang gara-gara kecederaan dialaminya di Indonesia, baru-baru ini. – UTUSAN










