PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terlepas untuk merangkul gelaran selepas tewas kepada Ben Lane-Sean Vendy dari England pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Arctic di Vantaa, Finland, hari ini.
Aaron-Wooi Yik yang menghuni ranking No. 2 dunia tewas kepada beregu ke-15 dunia itu dalam pertarungan yang berlanjutan sehingga ke set penentuan 18-21, 27-25, 17-21 dalam masa 1 jam 16 minit di Vantaan Energia Areena.
Selaku naib juara, pasangan No. 1 Malaysia itu membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$18,050 (RM76,261) berserta pingat perak.
Kekalahan menimpa Aaron-Wooi Yik juga menyaksikan Lane-Vendy berjaya merapatkan juang rekod pertemuan antara kedua-dua beregu kepada 4-6.
Aaron-Wooi Yik yang dilanda kemerosotan prestasi selepas Kejohanan Dunia di Paris, Ogos lalu, semakin hampir mendapatkan kembali rentak kemenangan dengan kemaraan mereka sehingga ke pentas akhir pada kejohanan berstatus Super 500 tersebut.
Selasa ini, beregu bimbingan ketua jurulatih, Herry Iman Pierngadi itu bakal menyertai Terbuka Denmark dan mereka dijangka berdepan laluan lebih sukar dengan penyertaan lebih ramai beregu handalan dunia pada kejohanan Super 750 itu.- UTUSAN