PETALING JAYA: Beregu lelaki negara bermula garang di pusingan pertama Terbuka Arctic 2025 apabila kedua-dua pasangan negara mencatat kemenangan meyakinkan ke atas lawan masing-masing.
Gandingan beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak berdepan masalah menundukkan wakil Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard 21-18, 21-15 dalam masa kurang daripada 40 minit.
Rentak agresif Aaron-Wooi Yik nyata sukar dibendung, dengan pertahanan kental dan serangan bertenaga mereka memastikan kemenangan straight set yang selesa.
Kemenangan ini membuka langkah positif buat juara dunia 2022 itu untuk menebus kehampaan edisi lalu selepas terkandas di pusingan kedua.
Aaron-Wooi Yik seterusnya akan menentang rakam senegara, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong pada aksi pusingan kedua, esok.
Dalam satu lagi aksi menarik, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazdi turut mempamerkan semangat juang luar biasa untuk menewaskan gandingan China, Huang Di-Liu Yang 23-21, 22-20.
Pertarungan sengit itu memperlihatkan kematangan Choong-Haikal mengawal tekanan di penghujung set, sekali gus memastikan kemenangan dua set terus tanpa perlu ke rubber set.
Hon Jian-Haikal dijangka akan bertemu pasangan Perancis, Eloi Adam-Leo Rossi atau gandingan Scotland, Christopher Grimley-Matthew Grimley bagi penentuan ke suku akhir esok. – UTUSAN