ALOR SETAR: Seramai 55,904 pesawah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dijangka menerima manfaat berkaitan sektor tanaman padi seperti diumumkan dalam Belanjawan 2026, semalam.
MADA berkata, peruntukan RM2.62 bilion bagi pelbagai subsidi dan bantuan kepada pesawah termasuk subsidi harga, tanaman, baja, benih serta insentif pengeluaran padi dapat menjaga kebajikan pesawah selain memastikan keterjaminan pengeluaran makanan negara.
Agensi itu memberitahu, peningkatan kadar insentif pembajakan dan racun di samping insentif penuaian padi diyakini dapat membantu pesawah menampung kos operasi serta meningkatkan hasil pengeluaran padi.
“Dari segi infrastruktur, pelaksanaan Sistem Pengairan Tersier Fasa 1 bagi Projek Penanaman Lima Musim Dua Tahun yang telah mula dilaksanakan di Kawasan Muda Kedah dan Perlis menjadi bukti kepada usaha berterusan kerajaan memperkukuh sistem pengairan.
“Selain itu, Projek Pemindahan Air Jeniang bernilai RM1.28 bilion yang akan dilaksanakan tahun hadapan bakal menambah keupayaan sistem pengairan bagi menyokong peningkatan hasil tanaman padi di Kawasan Muda,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut MADA, pihaknya komited untuk melaksanakan inisiatif yang digariskan dalam Belanjawan 2026 agar dapat memperkukuh rantaian pengeluaran padi di Kawasan Muda.
Sementara itu, pihaknya juga akan menumpukan kepada penggunaan teknologi pintar pertanian, pengurusan air yang lebih cekap, serta pembangunan modal insan pesawah melalui latihan dan bimbingan berterusan.
“Pendekatan ini selari dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan produktiviti padi negara kepada lebih enam tan sehektar, di samping memperkukuh daya tahan sektor pertanian terhadap perubahan iklim dan cabaran global.
“MADA akan terus berperanan sebagai agensi pelaksana utama di peringkat lapangan dengan memastikan setiap inisiatif yang diumum dapat diterjemahkan kepada hasil yang memberi manfaat kepada seluruh pesawah di Kawasan Muda, sambil terus menjaga kebajikan pesawah,” katanya. – UTUSAN










