SEPANG: Seramai 23 rakyat Malaysia yang kini ditahan tentera Israel di pelabuhan Ashdod dijangka dibawa ke Turki dalam tempoh 48 jam.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) SNCC, Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, perkembangan terbaharu itu hasil hubungan diplomatik baik antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
“Kami menjangkakan fasa untuk menerbangkan mereka dari Ashdod akan berlaku dalam tempoh 48 jam lagi.
“Saya kira sedikit masa lagi kita dapat menjemput mereka untuk bawa pulang ke Malaysia mungkin daripada Ankara ataupun daripada Istanbul. Teruskan berdoa,” katanya dalam sidang akhbar di sini malam ini.
Katanya, Perdana Menteri telah memaklumkan perkembangan baik itu kepadanya pagi tadi, malah beliau memberi komitmen maksimum dalam usaha membawa pulang mereka ke tanah air.
Sani Araby berkata, pihaknya dimaklumkan, barisan peguam bagi pihak Malaysia daripada Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) yang berada di Ashdod telah berhubung dengan kesemua rakyat Malaysia yant ditahan.
“Mereka (ADALAH) memaklumkan kesemua 23 rakyat Malaysia berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Sani Araby berkata, pihaknya mengesahkan kapal terakhir yang berlayar di bawah Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza iaitu kapal Marinette telah dipintas rejim Zionis pada jam 3:30 petang waktu Malaysia.
“Dimaklumkan tiada rakyat Malaysia di atas kapal tersebut. Kami juga ingin mengesahkan bahawa kapal pemerhati (observer) Shireen telah selamat berlabuh di pelabuhan Paphos, Cyprus pada 3.40 petang waktu Malaysia.
“Kapal Shireen berperanan menyediakan khidmat guaman dan perubatan kepada seluruh peserta flotilla sepanjang pelayaran. Kapal ini juga diberi peranan untuk mengikuti dari awal flotila sehingga saat akhir, namun kapal observer akan meneruskan perjalanan mereka dan tamat di Cyprus,” katanya. – UTUSAN