18 atlet diberi jaminan duduki SPM selepas Sukan SEA

18 atlet diberi jaminan duduki SPM selepas Sukan SEA

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (tengah) menyaksikan memorandum perjanjian persefahaman (MoU) antara Pengerusi AEON Credit, Ng Eng Kiat (dua kiri) dan Ketua Pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin (tiga kanan) pada Majlis Pengumuman Pasukan Moto3 Wildcard di Litar Antarabangsa Petronas Sepang (SIC) di sini, hari ini. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif (kanan). - FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seramai 18 atlet diberi jaminan akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Majlis Sukan Negara (MSN) sebaik Sukan SEA 2025 di Thailand berakhir.

Temasya dwitahunan itu yang akan berlangsung pada 9-20 Disember ini, bertembung dengan peperiksaan SPM yang diadakan 3 November-23 Disember.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, setakat ini, ada 17 calon untuk sekolah kerajaan dan satu calon daripada sekolah persendirian.

“Majlis Sukan Negara (MSN) telah berbincang dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk selesaikan jadual di mana mereka akan bertanding dahulu.

“Kemudian mereka akan hadir di MSN dan KPM akan jalankan peperiksaan SPM untuk 17 calon ini dan itu yang telah dipersetujui oleh KPM,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis memperkenalkan pasukan dan jentera yang akan dipacu Hakim Danish Ramli pada Grand Prix Malaysia 2025 di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2025, Nurul Huda Abdullah menyuarakan kebimbangan terhadap nasib 18 atlet yang bakal menduduki SPM ekoran jadual peperiksaan itu bertembung dengan temasya tersebut.

Menurut Hannah, bagi calon persendirian membabitkan seorang atlet, permohonan untuk menetapkan di mana lokasi dia perlu menduduki SPM hendaklah dikemukakan sendiri kepada Lembaga Peperiksaan dan juga KPM.

Beliau turut memberi jaminan 18 atlet tersebut akan terus dibantu kerana mereka pergi ke Thailand disebabkan tugas untuk negara.

“Atlet-atlet ini ini bukan membazirkan masa, tetapi, sebaliknya mereka pergi untuk bertanding bagi mewakili Malaysia, jadi, kita hendak pastikan tiada seorang atlet pun yang akan terlepas daripada peluang menduduki SPM,” katanya.

Kata Hannah, kesemua calon SPM terlibat hanya akan menduduki peperiksaan sebaik Sukan SEA berakhir dengan MSN sendiri yang akan menyelaraskan jadual atlet-atlet yang terlibat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN