TENOM: Tindakan pantas anggota Bomba dan Penyelamat (BBP) berjaya mengeluarkan seorang lelaki warga emas yang tersepit di dalam kenderaan dipandunya, di Jalan Tenom-Kemabong, Kampung Mensasoh, di sini, hari ini.
Ketua BBP Tenom, Mudi Pengiran berkata, mangsa berusia 68 tahun yang memandu Toyota Vigo dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas sendiri kira-kira pukul 11 pagi.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.43 pagi dan kemudian bergerak ko lokasi kejadian sejauh 22 kilometer.
“Setibanya di lokasi, didapati mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan usaha mengeluarkan mangsa dijalankan dengan menggunakan peralatan khas.
“Mangsa mengalami kecederaan dan diberi rawatan awal sebelum diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Operasi kemudian ditamatkan sepenuhnya pada pukul 12.14 tengah hari. – UTUSAN










